Thursday, October 4, 2007

Suami perlu jadi teladan terbaik

SEORANG suami menurut perspektif Islam adalah ketua keluarga, sekali gus pemimpin yang bertanggung jawab sepenuhnya terhadap isteri dan anak dalam tanggungannya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Seorang suami wajib melaksanakan semua kewajipan yang ditetapkan Islam supaya keluarganya yang dibinanya dapat menjalin hubungan kemesraan dan mengecapi nikmat kebahagiaan yang dijanjikan Allah.

Antara kewajipan suami terhadap isterinya ialah memelihara isterinya yang bersifat lemah daripada kebinasaan. Begitu juga melaksanakan keadilan kepadanya serta memberikan layanan terbaik untuknya. Ini kerana isteri adalah amanah Allah yang diserahkan kepadanya.

Firman-Nya bermaksud: “Wahai orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala).” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Justeru, seorang suami bertanggungjawab mendidik isterinya supaya menjadi seorang isteri salihah.

Selain memberi pengetahuan dan pendidikan agama, suami perlu menjadi contoh teladan terbaik buat isterinya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik budi pekertinya; dan orang yang paling baik daripada kalangan kamu ialah orang yang melakukan kebaikan kepada isteri-isterinya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Suami juga wajib menyempurnakan nafkah perbelanjaan menurut fikah Islam iaitu perkara yang wajib ke atas suami untuk keperluan isterinya daripada aspek makan minum, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya. Menanggung nafkah perbelanjaan adalah tanggungjawab seorang lelaki seperti firman Allah bermaksud: “Hendaklah orang yang mempunyai kemampuan membelanjakan menurut kemampuannya.” (Surah al-Talaq, ayat 7)

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi. Penulis ialah Ketua Program Ijazah Sekolah Pengajian Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Kampus Kusza, Terengganu.